Saturday, February 15, 2014

Sakit kunci pahala


Benarlah dan terbuktilah bahawa sesungguhnya kematian itu dekat. Akhir-akhir ini ramai hamba Allah di samping ana yang sakit, tak sihat termasuklah yang sakitnya ringan hinggalah yang berat.

Subhan Allah.

Apakah melihat mereka, ia memberi ibrah atau kesan yang mendalam dalam diri kita? Atau ia sekadar satu perkataan, SAKIT, tanpa menyentuh hati kita sedikit pun.

Senior, junior, sahabat satu batch, keluarga sendiri, keluarga sahabat.. tak terlepas dari ujian Allah yang satu ini. Leukemia, cancer, paralysis, gastritis, cardiac tamponade, leiomyoma..


"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: "Kami beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji  orang yang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui tentang orang yang berdusta."
Al-Ankabut 29:2-3

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman."
Ali 'Imran 3:139


Sahabat ana baru-baru ini di diagnose dengan Leukemia, dan dimasukkan ke dalam sebuah hospital di Ipoh, Perak. Jujur, ana terkejut dengan berita tersebut, walaupun sakit itu datang tanpa mengira masa dan siapa orangnya. Apa tidaknya, bukan sahaja diagnosisnya sama dengan arwah atok ana, malah hospital juga sama. Siapa tahu wadnya juga sama. Ana terkenang kembali saat-saat bilamana arwah atok ana sedang mendapatkan rawatan di hospital, sedih. Atok yang terlalu ingin melihat cucunya menjadi doktor tidak kesampaian kerana beliau dijemput Ilahi sebelum tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dikeluarkan. Hinggakan ketika di hospital, arwah beritahu pada specialist yang merawatnya yang ana ini bakal doktor.. walaupun agak garang dan tegas orangnya, tapi hatinya sangat baik.

Moga Allah merahmati arwah. 

Allah memberi ujian kepada siapa yang dikehendakiNya, dalam pelbagai bentuk ujian. Dan apa yang diberikanNya bukanlah sia-sia, insya Allah pasti ada hikmahnya walaupun tersembunyi, kerana setiap apa yang terjadi, adalah kehendak Allah, dan kehendakNya itu tidaklah sia-sia.

Moga dengan pelbagai khabar duka yang diterima bukan melemahkan jiwa kita, apatah lagi ditimpa musibah itu, malah ia sebenarnya menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah, Pemilik nyawa sekalian manusia. Disebalik kesakitan dan kekurangan yang dirasai, dosa-dosa kita turut dihapuskan ibarat daun-daun yang jatuh berguguran apabila dirempuh angin kuat. Insya Allah.

Allah tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Untuk kita yang sihat ini, kita patut lebih bersyukur atas ni'mat sihat yang diberi. Kita seharusnya beramal ibadah lebih banyak lagi berbanding mereka yang diuji dengan kesakitan.

La hawla wa la quwwata illa billaah.


Ya Allah, hilangkan dari dirinya penyakit, kembalikan dia kepada kesihatan dan kesembuhan. Bantulah dia dengan sebaik-baik perlindungan, dan kembalikan dia kepada sebaik-baik kesembuhan. Jadikanlah apa saja yang dirasakannya pada waktu sakitnya sebagai pahala untuk kehidupannya dan penghapus atas segala kesalahannya. Ya Allah, sampaikan salawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad.


Syafakumullah syifaan ajilan, syifaan la yughadiru ba'dahu saqaman. Aamiin.

No comments:

Post a Comment