Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur ana sehingga saat ini. Walaupun tempat di sekitar ana, di Bandung, ini turut terkena tempias debu-debu dari letusan Gunung Kelud, Jawa Timur, tapi alhamdulillah ia tidaklah seteruk ujian yang ditimpa ke atas penduduk-penduduk di sana. Benar, udara kelihatan sayu, langit mendung, seolah-olah tidak lama lagi bumi akan dibasahi hujan, hakikatnya ia sebenarnya dibaluti debu.
Pada hari Sabtu lepas, ana dan sahabat-sahabat usrah keluar untuk ke Jakarta, menaiki bas yang letaknya di Cileunyi. Ana dapat rasa mata ana pedih. Pergi ke SabSub, kedai berdekatan tempat kami berkumpul menunggu angkot (Angkatan Kota), beli mask. Apa yang terjadi tidak menghalang kami untuk teruskan niat kami ke Jakarta, untuk menemui murobbi kesayangan kami. Alhamdulillah.
Pertama kali ana ke Jakarta menaiki bas. Sebelum ini selalunya dengan shuttle. Mendapat pengalaman bersesak membuatkan ana berfikir... . Berada di tempat orang sangat mengtarbiyah kita. Hanya diri ini yang tahu.
-------
Kami turun di Stesen Lebak Bulus, Jakarta Selatan. Kemudian menaiki Busway (TransJakarta) ke Sumber Waras, sebelum menaiki Bajaj (pronounce: Bajai) untuk ke RI Zilal. Alhamdulillah akhirnya setelah beberapa jam bermusafir dari Bandung ke Jakarta, kami tiba di rumah sang murobbi. Rindunya tak terhingga. Ni'mat bertemu mereka yang dicintai keranaNya.
Esoknya kami berbulatan gembira di Monas (Monumen Nasional) di Jakarta Pusat. Biasalah hidup di bandar, ibarat di KL, kesibukan manusia dan kesesakan lalu lintas sangat mencabar. Ibrahnya di sini, sabar. Bukan itu sahaja, berbagai jenis ragam dan perangai manusia ana temui, dari jujur sampai yang tidak. Apa pun ana tak rasa benci mahupun memandang rendah pada mereka yang tak jujur, kerana apa yang terlintas dalam benak ana pada saat itu, "moga Allah memberi petunjuk padanya.. mungkin tiada orang datang untuk menyampaikan Islam padanya...".
Sepanjang perjalanan kami diberi tugasan oleh murobbi, tugasan untuk memberi tazkirah dan yang paling mencabar, sepanjang perjalanan kami diminta untuk tidak bercakap langsung selagi tidak dibolehkan. Okay lah, saat melangkah keluar dari rumah, kami masing-masing langsung membisu. Psssst, tapi masa tu depan rumah ada seekor kucing berwarna oren, tangannya cacat sebelah, tapi sangat comel. Ana pun tercakap, sebab kononnya ingin bermesra dengan kucing tu, oh sekali baru ingat tak boleh cakap. Terus sambung diam.
Yang tak tahannya, beberapa sahabat ana yang lain kena 'tinggal', sebab masa tu ana, murobbi, dan dua orang sahabat lain sudah memasuki busway. Maka bermulalah kesesakan mesej di Whatsapp, dan kerana mereka sudah cuak, akhirnya bercakap jugalah antara mereka yang tertinggal. Haha. Dan yang menarik, mereka sempat juga memberi tazkirah mengikut tugasan yang diberi setiap jam. Melalui Whatsapp juga... mengenai cahaya.
Setibanya di Monas, kami berjalan mencari tempat yang sesuai untuk berbulatan. Akhirnya kami jumpa tempat yang menarik, dan kami duduk di atas rumput-rumput menghijau, di bawah pohon merimbun yang melindungi kami dari sinar mentari (sebenarnya hari itu sudah ditaqdirkan langit mendung), bermulalah sesi usrah seperti biasa. Sepanjang berusrah, ada juga beberapa distractions daripada penjual-penjual. Tapi tidak ada yang perlu dipersalah terhadap mereka, kerana mereka hanya mencari rezeki, sesuap nasi. Kadang-kadang rasa kasihan dan tidak kurang juga bangga dengan kesungguhan mereka dalam mencari rezeki, sekurang-kurangnya mereka melakukan sesuatu daripada hanya duduk dan meminta-minta. Insya Allah.
Moga Allah melimpah dan memurahkan rezeki ke atas mereka. Aamiin.
Sebelum kami pulang ke RI Zilal untuk bersiap pulang ke Bandung, kami sempat masuk ke dalam muzium Monas untuk solat dan melihat sejarah-sejarah Indonesia. Ditaqdirkan kami pergi hari minggu, jadi sangat ramai orang yang berkunjung ke sana.
Sebelum kami pulang ke RI Zilal untuk bersiap pulang ke Bandung, kami sempat masuk ke dalam muzium Monas untuk solat dan melihat sejarah-sejarah Indonesia. Ditaqdirkan kami pergi hari minggu, jadi sangat ramai orang yang berkunjung ke sana.
Apa yang ana perasan, bila berada dalam gerabak da'wah dan tarbiyah, ia mengajar kita agar tidak mudah untuk menghakimi orang. Bilamana diri sudah terselup dengan sibghah Allah, ditambah pula fikrah islamiyyah sudah tertegak dengan utuhnya dalam qalb (hati), hidup terasa bermakna kerana kita sudah meletakkan Allah pada tempat yang sepatutnya. Tiada gusar terhadap hal dunia yang remeh ini, Allah beri ketenangan untuk menghadapi setiap yang berlaku dan kita akan memandang setiap yang berlaku itu dengan kaca mata Allah, kita tidak lupa untuk mengkaitkannya dengan Allah dan kekuasaanNya. Subhan Allah.
"Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan ni'mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk."
Ali 'Imran 3:103
Jadilah kita seorang 'abid dan dai'e yang ikhlas dalam beribadah dan berjihad keranaNya, yang punya baik dan mulia akhlaqnya, yang tidak meletakkan perkara lain tetapi Allah di tempat yang teratas dan paling utama. Insya Allah. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment